Showing posts with label Diari Peribadi. Show all posts
Showing posts with label Diari Peribadi. Show all posts

Mari Makan Ikan Bakar

12/01/2010 08:19:00 AM, Posted by die_laksamana, No Comment

SEBELUM MAKAN


SELEPAS MAKAN


Sejauh 60 km dari Bandar Baru Bangi, aku, Syam dan Zahar bersama keluarga masing-masing ke Restoran Ikan Bakar Sri Nekat, Sungai Lui yang terletak dalam daerah Hulu Langat. Walau pun agak jauh dan tidak munasabah dengan perjalanan sejauh itu semata-mata untuk menjamu selera, tapi di sini ada satu daya tarikannya tersendiri. Pastinya, suasana yang sungguh indah dengan tempat duduknya di atas air dan ikan bakarnya yang enak serta air asam yang sungguh kaww menjadi penyebab utama tempat ini sering dikunjungi oleh 'kaki-kaki makan'.

Di sini tidak ada ikan laut, yang ada hanyalah talapia, keli dan patin sahaja. Terdapat 2 versi masakan iaitu bakar atau goreng sahaja. Apa yang menarik tentang ikan-ikan air tawar di sini ialah rasa daging ikan-ikannya sungguh lazat dan manis serta tidak rasa berlumpur. Kebanyakkan talapia atau patin yang dibeli di pasar-pasar contohnya kerapkali rasanya agak hanyir dan berlumpur jika dimakan. Mengikut pengusaha tempat ini, beliau hanya memilih ikan-ikan air tawar tertentu sahaja dan beliau sendiri akan mencubanya terlebih dahulu sebelum ianya dipasarkan kepada orang ramai. Tidak hairanlah kualiti dan rasanya tidak berubah sejak aku mula mengenalinya 14 tahun yang lalu. Ikan-ikan di sini dijamin segar kerana bila ada tempahan barulah ianya dinaikkan daripada kolam.

Kepada sesiapa yang berminat dan suka makan, bolehlah datang ke sini dan rasailah perbezaannya. Harganya pun berpatutan. Untuk ke sana, eloklah telefon dahulu untuk tempahan supaya masa menunggu tidak lama. Hubungi Abang Idris di talian 013-2639056

Kembara Menziarahi Sahabat

5/04/2010 11:15:00 AM, Posted by die_laksamana, No Comment


Perjalanan sejauh 280 km dari Kuala Lumpur, jam 12.30 petang, Ahad bersamaan 2 Mei 2010. Bersama 5 orang rakan ; Jaafar, Shamsuddin, Ramlan, Khairul dan Abdullah bertolak ke Kuantan, Pahang Darul Makmur untuk menziarahi seorang sahabat lama yang baru keluar daripada hospital kerana masalah jantung. Walaupun masing-masing mempunyai banyak komitmen lain terutamanya hujung minggu begini, kami gagahi jua demi sebuah persahabatan. Kami tidak mengalami apa-apa masalah sepanjang perjalanan ini. Alhamdulillah, pada jam 6.00 petang, kami selamat sampai di sana.

Banyak yang kami bualkan, maklumlah dah lama tidak bersua muka. Daripada riak wajahnya, terserlah kegembiraan kerana masih ada rakan-rakan yang sanggup berkongsi segala suka dan duka bersama. Doa kami semoga beliau sentiasa diberi rahmat oleh Allah Taala dan setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Kira-kira jam 10.30 malam, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur dengan seribu macam perasaan dan keyakinan bahawa sesungguhnya setiap manusia pasti diuji oleh Allah Taala di dunia ini. Jauh di sudut hati kami, terselit doa dan harapan ; Ya Allah, janganlah Engkau menguji kami dengan ujian yang berat yang kami tidak mampu menghadapinya...ِِAamin

Peringatan dan nasihat sesama muslim :

Kelebihan dan fadilat menziarahi orang sakit ;

Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ada enam perkara ; apabila engkau menemuinya, hendaklah engkau memberi salam. Apabila dia mengajak kamu ( ke majlis atau seumpamanya ), maka hendaklah engkau menghadirinya. Apabila dia meminta nasihat, maka hendaklah engkau menasihatinya. Apabila dia bersin, maka hendaklah engkau mendoakan rahmat baginya. Apabila dia sakit, maka hendaklah engkau menziarahinya. Dan apabila dia mati, maka hendaklah engkau mengikutinya ( ke kubur untuk disemadikan ) ).

Riwayat Imam Muslim ( no 4023 )

Daripada Abu Said Al Khudriy RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Hendaklah kamu menziarahi orang-orang yang sakit dan ikutilah jenazah ( ke kubur ). Kerana yang demikian mengingatkan kamu kepada akhirat )

Riwayat Ahmad, Al Bazzar, Abu Ya'la, Ibnu Hibban dan Al Bukhari ( dalam Al Adab Al Mufrad ) - hadith sahih - no hadith 3497 dalam Sahih At Targhib Wa At Tarhib.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud :
Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, berseru di langit dengan kata-kata ; baik jiwa engkau dan baik pula perjalananmu, dan tersedia tempatmu di syurga )

Riwayat Imam At Tirmidzi. Hadith hasan - rujuk Sahih Al Jami' As Saghir 6387

Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Sesungguhnya Allah berkata pada hari kiamat ; Wahai anak Adam ! Aku sakit tetapi kamu tidak menziarahi-Ku. Berkata anak Adam ; Bagaimana aku hendak menziarahi Engkau sedangkan Engkau adalah Tuhan alam semesta ? Berkata Allah ; Tahukan Engkau, hambaku si fulan sakit dan engkau tidak menziarahinya, andainya engkau menziarahinya, sudah pasti engkau akan menemui-Ku di sisinya....... )

Riwayat Imam Muslim ( no 4661 )

Daripada Ali RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Sesungguhnya seseorang muslim itu apabila dia menziarahi saudara muslimnya yang lain, maka dia berjalan dengan memetik buahan-buahan yang masak ranum di syurga sehinggalah dia duduk. Apabila dia sudah duduk, maka dia dilimpahi rahmat. Andainya ketika itu waktu pagi, 70,000 malaikat berselawat ke atasnya sehingga petang. Andainya ketika itu waktu petang, 70,000 malaikat berselawat ke atasnya sehingga pagi )

Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Al Hakim dll - hadith sahih - Silsilah As Sahihah - no 1367

Aktiviti Berkelah Lah Pulak

3/17/2010 10:18:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment


Indah sungguh ciptaan Allah Taala !! Itu hanya mampu ku luahkan jauh di sudut hatiku. Sebuah kawasan yang jarang-jarang dikunjungi oleh mereka yang saban hari sibuk dengan urusan kerja. Terletak kira 45 km dari Bandar Dungun, Terengganu. Itulah sungai Kampung Melong, Minda yang terletak dalam daerah Dungun. Biasanya pengunjung hanya mengetahui Hutan Lipur Chemerong sahaja sebab itu yang terdapat dalam buku pelancongan. Tapi di sini, segala-galanya masih menjadi rahsia kepada kebanyakkan orang. Tidak ramai yang berkunjung ke sini kerana tempat ini masih belum diwartakan sebagai pusat pelancongan di Terengganu. Tempatnya amatlah cantik, indah dan tenang sekali. Amat sesuai untuk kanak-kanak mandi dan bermain tanpa kita merasa risau akan bahayanya. Sungainya luas, dalamnya agak sesuai untuk kanak-kanak dan bersantai sambil berteduh di bawah rimbunan pohon buluh yang terdapat di sekitarnya.

Selain mandi, aktiviti perkhemahan dan memancing juga boleh dijalankan di sini. Dengan tebingnya yang berpasir dan landai pastinya menjanjikan keseronokan terutamanya golongan kanak-kanak ( yang dewasa pun seronok juga ). Oleh kerana tempat ini masih belum diwartakan sebagai tempat pelancungan, tidak terdapat pondok-pondok untuk berehat. Namun demikian, itu tidak menjadi masalah kerana berehat dan bersantai di atas pasir garam yang putih dan bersih lebih 'happening'. Lagi pun tempat ini masih kekal keasliannya kerana tidak banyak aktiviti manusia dijalankan di sini. Harapanku agar tempat ini akan kekal begini sebagai warisan kepada generasi akan datang.

Biar apa pun, aku pasti akan ke sana lagi bila ada masa dan kelapangan. Tunggu.....

Indahnya Raya Bersama Keluarga Tercinta

9/29/2009 08:42:00 AM, Posted by die_laksamana, No Comment

Bersama Seluruh Ahli Keluarga

Semua Anakanda Bonda Halimah Awang Yang Tercinta ( Tiada - Roslan )

Kekanda Pertama ( Othman ) Dan Keluarga

Kekanda Kedua ( Aziz ) Dan Keluarga

Kekanda Ketiga ( Zaiton ) Dan Keluarga

Kekanda Keempat ( Alias ) Dan Keluarga

Kekanda Kelima ( Wahab ) Dan Keluarga

Kekanda Keenam ( Zaleha ) Dan Keluarga
Kekanda Ketujuh ( Roslan ) - Tidak Hadir
Diriku Sendiri - kelapan ( Rosdi ) - Hadir Tapi Lupa Nak Ambil Gambar

Ahli Keluarga Lelaki Sahaja

Ahli Keluarga Perempuan Sahaja

Pasangan Romantis

Pra Persidangan Meja Petak

Sedang Melayan Sate


Gaya Seorang Pro Sedang Membakar Sate


Ini Ialah Sate...Semua Orang Pun Tahu !!


Bersidang Sambil Bersantai

Awas !! Ini Adalah Gaya Sahaja. Jangan Tiru Di Rumah



Sedang Bermesra Dengan Monyet





T
anggal 22 September 2009 ( Hari Raya Aidil Fitri Ke-3 ), takdir Ilahi telah menemukan kita semua. Pertemuan yang sangat indah yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Biar pun kita semua dipisahkan sementara oleh batasan tugas dan tempat, namun keakraban dan rasa insaf persaudaraan telah menemukan kita semua. Satu peristiwa yang amat sukar terjadi lebih-lebih lagi setiap daripada kita mempunyai komitmen tertentu yang kadang-kadang mengheret diri terpisah jauh daripada keluarga tercinta. Syukur kepada-Mu Ilahi di atas kurniaan nikmat ini.


Betapa gembiranya hatiku dapat bersama semua ahli keluarga. Terasa seolah-olahnya kami semua kembali semula kepada zaman kanak-kanak sebelum ini. Zaman yang penuh dengan ketawa dan air mata. Tapi semua itu hanyalah tinggal kenangan sahaja. Segala-galanya sudah pun berubah. Apa yang kami harapkan ialah anak-anak kami dapat menghayati sedikit sebanyak bahawa inilah tempat tumpah darah ayah dan ibu mereka. Mengenang kembali setiap detik kehidupan yang telah dilalui sehinggalah masing-masing membawa haluan hidup sendiri. Belajarlah daripada kehidupan ini dan warisi setiap langkahnya kepada anak-anak generasi akan datang.

Sayangnya, ibu yang kami cintai telah kembali ke rahmatullah pada 15 Julai 2007. Andainya masih ada, pasti dia merasa gembira dengan situasi indah ini melihat anak-anaknya berkumpul di hari yang mulia dengan cucu-cucunya yang semakin hari semakin ramai. Dengan kasih sayang yang telah dihulurkan sepenuh hatinya sebelum ini dihargai oleh setiap anaknya. Doa kami buat ibu tercinta agar sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah Taala. Amin....

Laksamana
Bangi 25 September 2009

Selamat Datang Ke Dunia

6/17/2009 09:36:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment

Nurul Adila ( Tarikh lahir 31 Julai 2001 )

Nurul Afifa ( Tarikh lahir 22 November 2005 )

Nurul Asima ( Tarikh lahir 16 Jun 2009 )
Gambar Ini Diambil Selepas 1 Hari Dilahirkan


Tepat jam 5.00 petang, 16 Jun 2009 bertempat di Hospital Kajang, kedengaran tangisan seorang bayi di bilik bersalin. Selama 10 jam si ibu mempertaruhkan nyawa demi sebuah kehidupan. Tangisannya diringi dengan air mata kegembiraan orang-orang yang menyanyanginya. Syukur tidak terhingga dipanjatkan kepada Ilahi di atas kurniaan yang amat bernilai ini. Apa yang tinggal sekarang adalah tanggungjawab membesar dan mendidiknya. Selamat datang ke dunia yang penuh dengan warna-warni dan pancaroba ini.

Wahai anak-anakku… Ingatlah pesan, wasiat dan doa kedua ibu bapamu. Semoga kehidupan kalian di dunia ini sentiasa disinari cahaya keimanan dan kebahagian :

Peliharalah hak-hak Allah nescaya Allah akan memelihara hak-hak kamu.

Carilah keredhaan Allah nescaya Allah akan meredhai kamu dan melimpahkan keredhaan manusia terhadap kamu.

Kasihkan Allah dan Rasul-Nya nescaya Allah mengasihimu dan memasukkan perasaan kasih sayang manusia terhadapmu.

Berbuat baik sesama makhluk nescaya kamu akan mendapat kebaikan daripada mereka.

Bermafaan sesama manusia nescaya mereka akan memaafkan kesalahanmu.

Suburkan perasaan hormat sesama manusia nescaya kamu dihormati

Basahkan lidahmu dengan selalu menyebut nama-Nya nescaya Dia akan sentiasa menyebutmu di kalangan malaikat-malaikat-Nya yang mulia.

Redhalah dengan apa jua ketentuan Ilahi nescaya kamu akan sentiasa syukur dengan apa yang kamu miliki.

Sabarlah di atas apa jua dugaan dan rintangan nescaya kamu akan merasa insaf bahawa di sana terdapat insan lain yang yang menderita.

Hiburkanlah hatimu dengan solat dan menyebut kalimah-kalimah-Nya nescaya kamu akan sentiasa tenang dan gembira.

Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kesejahteraan dan kebahagian kepada seluruh ahli keluarga kami, hidupkan dan matikan kami dalam keadaan iman, janganlah Engkau menguji kami dengan ujian diluar kemampuan kami, sematkanlah rasa syukur dan redha terhadap apa jua kurniaan dan pemberianmu kepada kami, berikanlah kami akan rahmat-Mu untuk memasuki syurga-Mu

Amin Ya Rabbal Alamin

Jemputan Jamuan Perpisahan

5/30/2009 06:02:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment

Duduk dari kiri :
Penulis, Hafiqi dan Ainuddin.

Berdiri dari kiri :
Farhan, Rahmat, Syakir, Hafizuddin, Aiman, Abu, Suhail dan Muizzudin.

Tanggal 29 Mei 2009, jamuan ringkas telah diadakan sempena perpindahan sekolah saudara Suhail, pelajar Ting 5 2009 ke sekolah baru. Semoga perpindahan ini menjadikan beliau seorang pelajar yang lebih tekun dan tabah menghadapi alam persekolahan. Bersedih di atas keputusan beliau, semua rakan tetap akur dan redha dengan ketentuan Ilahi. Semoga ikatan ukhuwwah islamiyyah yang terjalin selama ini akan terus kekal biar pun kita terpaksa berpisah sementara. Doa dan harapan juga kami panjatkan kepada Ilahi agar kami ditemukan semula pada suatu nanti. Ucapan dedikasi buat Suhail ........ Sentiasa mengingati Allah dalam apa jua situasi dan sentiasalah berdoa kepada-Nya agar ditunjukkan jalan yang lurus hingga ke akhir perjalanan setiap insan. Manfaatkanlah semua peluang yang ada dan anggaplah ia sebagai peluang yang terakhir diberikan ........

عن أبي هريرة رضي اللَّهُ عنه

عنِ النبي صلى الله عليه وسلم قال:

( سبعة يظلهم اللَّه تعالى في ظِلِّهِ يوم لا ظلَّ إلا ظله: إمام عدل، وشاب نشأ في عبادة اللَّه، ورجُلٌ قلبُهُ معلَّق في المساجدِ، ورَجلان تَحابا في اللَّهِ اجتمعا عليهِ وتفرقا عليه، ورجل دعته امرأة ذات مَنصب وجَمال فقال: إني أخاف اللَّهَ، ورجُل تَصدَّق بصدَقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تُنفق يمينهُ، ورجل ذكر اللَّه خاليا ففاضت عيناه )


Daripada Abu Hurairah RA berkata :
Bersabda Rasulullah SAW ( bermaksud ) :
( Tujuh golongan manusia yang akan mendapat teduhan Allah Taala pada hari di mana tiada teduhan melainkan teduhan-Nya ; 1) Seorang pemimpin yang adil, 2) seorang pemuda yang hidupnya sentiasa beribadat kepada Allah, 3) seorang lelaki yang hatinya sentiasa bergantung di masjid-masjid, 4) dua orang lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah, bertemu kerana Allah dan berpisah pula kerana-Nya, 5) seorang lelaki yang diajak oleh wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan untuk melakukan dosa lalu dia berkata ; sesungguhnya aku takutkan Allah, 6) seorang lelaki yang bersedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, 7) dan seorang lelaki yang mengingati Allah ketika bersendirian lalu berlinang matanya )

Riwayat Imam Al Bukhari : no hadith 1403

Selamat Melayari Blog Saya

5/05/2009 04:03:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment

Sekadar gambar hiasan ( Perkhemahan Ibadah di Taman Rekreasi Gunung Nuang )

Alhamdulillah, terbuka juga hati saya untuk membina blog peribadi biar pun ramai rakan-rakan sebelum ini berungguh-sungguh mencadangkannya kepada saya.... Tapi masa tu saya tak begitu berminat kerana lebih suka memberi tumpuan kepada pembinaan laman web sekolah. Mungkin juga kekangan masa yang tidak menentu. Sekarang ini, laman web tu dah siap, cuma ada beberapa perkara sahaja yang belum dimasukkan. Alhamdulillah, dengan kerjasasama semua, proses pembikinannya tak banyak masaalah....Saya harap dengan adanya blog ini, menjadi wadah perjuangan saya di era siber ini dan menjadi sebahagian daripada penyambung ukhuwwah islamiyyah dengan sesiapa sahaja yang inginkan kebaikan...... Segala nasihat dan teguran daripada semua amat saya alu-alukan..