Kita Jarang Tahu

6/22/2009 04:38:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment

Al Quran mempunyai 114 surah, 30 juzuk, 60 hizb, 6236 ayat, 15 ayat sujud, 77,439 perkataan, 82 surah makkiyah, 20 surah madaniyah dan 12 lagi ulamak-ulamak berselisih pendapat tentangnya, 4470 ayat-ayat makkiyah, 1729 ayat-ayat madaniyah dan 37 ayat tidak diturunkan di Mekah mahupun Madinah.

Surah yang paling panjang ialah surah Al Baqarah ( 286 ayat ) dan paling pendek ialah surah Al Kauthar ( 3 ayat ).

Semua surah dimulakan dengan Basmalah melainkan surah At Taubah dan terdapat 2 basmalah dalam surah An Naml.

Kalimah walyatalatthaf ( وليتلطف ) berada ditengah-tengah jumlah perkataan-perkataan dalam Al Quran.

Surah Al Mujadilah disebutkan di dalamnya 56 kali nama Allah samada secara jelas atau tidak.

Nama hari yang disebutkan dalam Al Quran ialah hari Sabtu dan Jumaat.

Ayat yang paling panjang ialah ayat 282 surah Al Baqarah.

Nama nabi yang paling banyak disebut di dalam Al Quran ialah Musa AS iaitu sebanyak 131 kali.

Nama-nama malaikat yang disebut secara jelas di dalam Al Quran ialah Jibril, Mikal, Harut, Marut, Malik.

Individu-individu yang ditentukan nama dan tempatnya di dalam neraka ialah Firaun, isteri Nuh AS, isteri Luth AS dan Abu Lahab.

Satu-satunya nama wanita yang disebut secara jelas ialah Maryam binti Imran, ibu Isa AS.

Satu-satunya sahabat Nabi disebut namanya secara jelas ialah Zaid bin Harithah ( Surah Al Ahzab ayat 37 )

Surah yang paling agung di dalam Al Quran ialah surah Al Fatihah

Surah apabila dibaca nescaya tidak akan dimasuki syaitan ialah surah Al Baqarah.

Sesiapa yang membaca 2 ayat terakhir dari surah Al Baqarah, nescaya mencukupi baginya.

Sesiapa yang menghafal 10 ayat terakhir dari surah Al Kahf, nescaya terpelihara daripada fitnah dajjal.

Nama lain bagi surah Al Fatihah ialah ; Ummul Kitab, As Sabu' Al Mathani ( السبع المثاني ), Al Kanz ( الكنز ), Al Wafiah ( الوافية ), Al Kafiyah ( الكافية ), As Syafiyah ( الشافية ).

Nama lain bagi surah Al Baqarah dan Aali Imran ialah ; surah Az Zahrawan ( الزهروان ).

Nama lain bagi surah Al Maidah ialah ; surah Al Munqizah ( المنقذة )

Nama lain bagi surah At Taubah ialah ; surah Al Fadhihah ( الفاضحة )

Nama lain bagi surah As Syuaara' ialah ; surah Al Jaamiah ( الجامعة )

Nama lain bagi surah An Nahl ialah ; surah An Niam ( النعم )

Nama lain bagi surah An Naml ialah ; surah Sulaiman ( سليمان )

Nama lain bagi surah Faathir ialah ; surah Al Malaikat ( الملائكة )

Nama lain bagi surah Al Mulk ialah ; surah Al Munjiah ( المنجية ) dan Al Maaniah ( المانعة )

Surah pertama diturunkan yang mempunyai ayat sejadah ialah Surah An Najm

Kalimah “Allah” disebut sebanyak 2707 kali. 980 kali disebut berbaris hadapan, 592 kali disebut berbaris atas dan 1135 kali disebut berbaris bawah.

Perkataan bulan ( الشهر ) disebut sebanyak 12 kali bertepatan dengan 12 bulan setahun.

Perkataan hari ( اليوم )disebut sebanyak 365 kali bertepatan dengan 365 hari setahun.

Perkataan iblis ( إبليس ) disebut sebanyak 11 kali, sama dengan suruhan agar memohon perlindungan daripada kejahatannya juga disebut sebanyak 11 kali.

Perkataan musibah ( المصيبة ) dan pecahannya disebut sebanyak 75 kali, sama dengan perkataan ( الشكر ) syukur dan pecahannya juga disebut sebanyak 75 kali.

Perkataan zakat ( الزكاة ) disebut sebanyak 32 kali, sama dengan perkataan keberkatan ( البركات ) dan pecahannya juga disebut sebanyak 32 kali.

Perkataan malaikat ( الملائكة ) disebut sebanyak 88 kali, sama dengan perkataan) syaitan ( الشياطين ) juga disebut sebanyak 88 kali.

Perkataan dunia ( الدنيا ) disebut sebanyak 115 kali, sama dengan perkataan akhirat ( الآخرة ) juga disebut sebanyak 115 kali.

Perkataan hidup ( الحياة ) disebut sebanyak 145 kali, sama dengan perkataan mati juga disebut sebanyak 145 kali.

Perkataan lelaki ( الرجل ) disebut sebanyak 24 kali, sama dengan perkataan perempuan ( المرأة ) juga disebut sebanyak 24 kali.

Perkataan solat disebut secara bersendirian sebanyak 5 kali bertepatan dengan 5 solat fardhu sehari semalam

Selamat Datang Ke Dunia

6/17/2009 09:36:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment

Nurul Adila ( Tarikh lahir 31 Julai 2001 )

Nurul Afifa ( Tarikh lahir 22 November 2005 )

Nurul Asima ( Tarikh lahir 16 Jun 2009 )
Gambar Ini Diambil Selepas 1 Hari Dilahirkan


Tepat jam 5.00 petang, 16 Jun 2009 bertempat di Hospital Kajang, kedengaran tangisan seorang bayi di bilik bersalin. Selama 10 jam si ibu mempertaruhkan nyawa demi sebuah kehidupan. Tangisannya diringi dengan air mata kegembiraan orang-orang yang menyanyanginya. Syukur tidak terhingga dipanjatkan kepada Ilahi di atas kurniaan yang amat bernilai ini. Apa yang tinggal sekarang adalah tanggungjawab membesar dan mendidiknya. Selamat datang ke dunia yang penuh dengan warna-warni dan pancaroba ini.

Wahai anak-anakku… Ingatlah pesan, wasiat dan doa kedua ibu bapamu. Semoga kehidupan kalian di dunia ini sentiasa disinari cahaya keimanan dan kebahagian :

Peliharalah hak-hak Allah nescaya Allah akan memelihara hak-hak kamu.

Carilah keredhaan Allah nescaya Allah akan meredhai kamu dan melimpahkan keredhaan manusia terhadap kamu.

Kasihkan Allah dan Rasul-Nya nescaya Allah mengasihimu dan memasukkan perasaan kasih sayang manusia terhadapmu.

Berbuat baik sesama makhluk nescaya kamu akan mendapat kebaikan daripada mereka.

Bermafaan sesama manusia nescaya mereka akan memaafkan kesalahanmu.

Suburkan perasaan hormat sesama manusia nescaya kamu dihormati

Basahkan lidahmu dengan selalu menyebut nama-Nya nescaya Dia akan sentiasa menyebutmu di kalangan malaikat-malaikat-Nya yang mulia.

Redhalah dengan apa jua ketentuan Ilahi nescaya kamu akan sentiasa syukur dengan apa yang kamu miliki.

Sabarlah di atas apa jua dugaan dan rintangan nescaya kamu akan merasa insaf bahawa di sana terdapat insan lain yang yang menderita.

Hiburkanlah hatimu dengan solat dan menyebut kalimah-kalimah-Nya nescaya kamu akan sentiasa tenang dan gembira.

Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kesejahteraan dan kebahagian kepada seluruh ahli keluarga kami, hidupkan dan matikan kami dalam keadaan iman, janganlah Engkau menguji kami dengan ujian diluar kemampuan kami, sematkanlah rasa syukur dan redha terhadap apa jua kurniaan dan pemberianmu kepada kami, berikanlah kami akan rahmat-Mu untuk memasuki syurga-Mu

Amin Ya Rabbal Alamin

Rahsia Kyusu' Dalam Solat

6/12/2009 11:21:00 AM, Posted by die_laksamana, No Comment

Satu kenyataan yang harus doperbetulkan, biar pun inilah kalimah yang sering dilontarkan. Apakah untuk memperolehi kusyuk di dalam solat masih mejadi rahsia kepada kita ? Jika rahsia, sememangnya kita tidak akan tahu dan tidak sekali-kali memperolehinya. Atau pun ianya bukan rahsia, cuma bagaimana cara memperolehinya masih menjadi rahsia? Apa pun, sebenarnya kusyuk dan cara memperolehinya bukanlah rahsia kerana ianya sudah diterangkan dengan sejelas-jelasnya oleh Baginda SAW. Tetapi kenapa kita masih menganggapnya sebagai rahsia? Jawapannya mudah sekali …. kerana kita belum bersedia melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW. Kita lebih suka mengambil atau mengikut cara lain yang mungkin juga diambil daripada orang-orang yang terdahulu daripada kita tanpa kita selidik dan kaji akan kesahihannya. Maka natijahnya kita akan kehilangan arah dan akhirnya kita merasakan segala ibadat terutama solat yang dikerjakan itu serba tidak kena / lengkap. Akhirnya kita bertanya kepada diri kita sendiri, kenapa solat yang aku kerjakan ini persisnya tidak manis apatah lagi dapat menghindarkan aku daripada perbuatan keji dan mungkar.

Benarlah apa yang telah disabdakan oleh Baginda SAW di dalam sebuah hadith yang berbunyi :

عن عمارِ بنِ ياسر قال :

سَمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول :

( إن الرجل لينصرِف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها )

Daripada Ammar bin Yaasir RA berkata :

Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

( Sesungguhnya seorang itu apabila selesai ( daripada solatnya ), tidak ditulis baginya daripada solat itu melainkan satu persepuluh, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga dan separuh )

Riwayat Imam Abu Daud ( no hadith 789 )

Status hadith : Hasan ( Sahih Ar Targhib wa At Tarhib no 537 )

Amat malanglah kiranya solat yang kita kerjakan lima kali sehari hanya ditulis separuh, atau satu pertiga hinggalah satu persepuluh sahaja. Persoalannya, apakah status baki yang tidak ditulis itu ? Sudah tentu salah satu penyebabnya ialah tiadanya kusyuk di dalam solat kita. Anggota badan kita yang zahir melakukan solat tetapi hati kita tidak sama-sama mengerjakan solat. Mungkin pada masa itu hati kita sedang memikirkan soal-soal perniagaan, kerja di pejabat, hutang keliling pinggang, masalah anak-anak dan isteri dan bermacam-macam perkara yang tidak bermain difikiran kita sebelum ini. Maka berjayalah usaha syaitan mahu melihat solat seseorang itu tidak sempurna dan akhirnya manusia kehilangan benteng yang ampuh menghalangnya daripada perbuatan keji dan mungkar. Hal ini sememang telah diceritakan oleh Baginda SAW bahawa apabila tibanya waktu solat, maka hadirlah syaitan yang cuba mengingatkan manusia apa yang dia tidak fikirkan sebelum ini sehingga dia lupa berapa rakaat telah dikerjakan ( Sahih Al Bukhari no hadith 3215 )

Mari kita perhatikan prinsip-prinsip yang seharusnya dijadikan pegangan dan panduan agar kita mendapat kusyu' yang sempurna di dalam ibadat solat.

1) Seharusnya Dimulakan Dengan Wuduk Yang Sempurna.

عن عثمان بن عفان قال:

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:

( ما من امرئ مسلم تحضره صلاة مكتوبة فيحسن وضوءها وخشوعها وركوعها إلا كانت كفارة لما قبلها من الذنوب ما لم تؤت كبيرة ..... )


Daripada Uthman bin Affan berkata :

Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

( Tiadalah seseorang muslim itu apabila tibanya waktu solat fardhu, maka dia memperelokkan wuduknya, kusyuknya dan ruku'nya melainkan ianya adalah kaffarah terhadap dosa-dosanya sebelum itu selagi ia tidak melakukan dosa-dosa besar ….. )

2) Melangkah Dengan Tenang / Thoma'ninah Ke Masjid

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:

( إذا سمعتم الإقامة فامشوا إلى الصلاة وعليكم بالسكينة والوَقار ، ولا تسرِعوا، فما أدركتم فصلوا، وما فاتكم فأتموا )

Daripada ِ Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda :

( Apabila kamu mendengar iqamah, maka hendaklah kamu menuju kepada sembahyang dengan tenang, dan jangan kamu mempercepatkan langkah, maka apa yang kamu sempat, maka kerjakanlah solat, dan apa yang tertinggal olehmu, maka sempurnakanlah )

Riwayat Imam Al Bukhari ( no hadith 628 )

3) Membaca Doa Ketika Masuk / Keluar Dalam Masjid

Sentiasa membaca zikir sebelum masuk ke dalam masjid :

أَعوذ بالله العظيـم ، وبِوجهِه الكرِيم، وسلطانه القديم ، من الشيطان الرجـيم [ بسم الله ، والصلاة ] [ والسلام على رسول الله ] اللهم افتح لي أبواب رحمتك

Riwayat Imam Abu Daud ( no hadith 466 ) dan Imam Muslim ( no hadith 1602

Status hadith : sahih ( rujuk Sahih Al Jami' As Shaghir 4591

Sentiasa membaca zikir ketika keluar daripada masjid :

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله ، اللهم إني أَسأَلك من فضلك، اللهم اعصمني من الشيطان الرجيم

Riwayat Imam Muslim ( no hadith 1602 ) Sahih Ibni Majah ( 1 / 29 )

5) Meletakkan sutrah

Merupakan satu perkara yang sangat penting dilaksanakan tetapi dipandang sepi oleh kebanyakan orang. Sutrah ialah penghadang yang diletakkan di hadapan agar orang lain boleh melintas di hadapannya.

( لا تصل إلا إلى سترة ، ولا تدع أحدا يمر بين يديك ، فإن أبى ؛

فلتقاتله ، فإن معه القرين )

Bersabda Rasulullah SAW ( bermaksud ) :

( Janganlah kamu solat melainkan dengan mengadap sutrah, dan jangan kamu biarkan seseorang melintas di hadapan kamu. Andainya dia enggan, maka hendaklah engkau peranginya, sesungguhnya syaitan bersamanya )

Sahih Ibni Khuzaimah. Sanadnya adalah jayyid ( Al Albaaniy )

6) Bersegera mengangkat takbir sebaik sahaja imam memulakan solat.

Seseorang itu tidak wajar menangguh untuk menngangkat takbir sebaik sahaja imam bertakbir tanpa sebab yang dibenarkan. Inilah waktu yang penuh dengan fadilat yang mana kebanyakkan daripada kita tidak mengambil berat akan kepentingannya. Apakah kita tidak mahu melafazkan amin ( آمين ) bersama imam dan ketika itu para malaikat juga bersama-sama melafazkannya ?

عن أبي هريرة : أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم قال:

( إذا أَمن الإمامُ فأمنوا، فإنه من وافق تأْمينه تأْمين الملائكة غفر له ما تقدم من ذنبه )

Daripada Abu Hurairah RA :

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda ( bermaksud ) :

( Apabila imam mengucapkan amin, maka hendaklah kamu mengucapkan amin. Maka sesungghnya sesiapa yang ucapan aminnya itu bersamaan dengan ucapan amin para malaikat, diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu )

Hadith riwayat Imam Al Bukhari ( no hadith 772 )

6) Minimumkan pergerakan dan hanya melakukan pergerakan yang dituntut dan pergerakan yang perlu sahaja.

Banyak bergerak ( yang tidak dituntut ) di dalam solat boleh mengakibatkan kita gagal mendapat kyusu' yang sebenarnya. Sebab itulah Baginda SAW menyuruh kita agar berdiri dengan tegak, meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, sentiasa memandang tempat sujud dan seumpamanya sebagai satu langkah agar hati kita sama-sama hadir mengadap Allah Yang Maha Esa.

Bersabda Nabi SAW apabila melihat satu kumpulan manusia menggerak-gerakkan tangan mereka di dalam solat tanpa mempunyai sebarang hajat ;

( Apakah aku melihat kamu menggerak-gerakkan tangan kamu seperti ekor kuda, diamlah ( jangan bergerak ) kamu semua di dalam solat ) Riwayat Imam Muslim ( no hadith 430 )

7) Sentiasa memandang tempat sujud. Jangan sekali-kali memandang ke langit atau ke kiri dan kenan kerana ianya menghilangkan rasa kusyu'.

Ini lah cara yang diajarkan oleh Baginda SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al Hakim dan Al Baihaqi.

Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Rasulullah mengerjakan solat dengan memandang ke langit. Turunnya ayat Al Quran berbunyi ( الذين هم في صلاتهم خاشعون ), lalu Baginda SAW menundukkan kepalanya di dalam solat ( berkata Al Hakim sahih dan menepati syarat Imam Al Bukhari dan Imam Muslim )

8) Sentiasa peka dalam mengamalkan cara pergerakan dan bacaan sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sahih sahaja. Pastikan semua syarat, rukun, perkara wajib dan sunat di dalam solat dikerjakan tanpa membeza-bezakan akan hukum-hakamnya.


Kesimpulan, perkara-perkara yang dinyatakan adalah sebahagian daripada cara-cara mendapatkan kyusu, di dalam solat. Semoga kita semua dimasukkan ke dalam golongan-golongan yang diberi rahmat oleh Allah SWT... Amiin