Selamat Datang Ramadhan 1430/2009 ( Siri 2 )

8/20/2009 03:39:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment

FADILAT-FADILAT BULAN RAMADHAN ( BAHAGIAN 1 )


1) Bulan Ramadhan Adalah Bulan Al Quran

Diturunkan Al Quran Al Karim pada malam lailatul qadar di bulan ramadhan. Firman Allah Taala dalam surah Al Baqarah ayat 185 :
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن
Bermaksud :
( Bulan ramadhan diturunkan padanya Al Quran )

Membaca Al Quran seharusnya menjadi amalan setiap insan yang inginkan kejayaan di dunia dan di akhirat. Amat besar ganjaran yang diberikan oleh Allah Taala kepada mereka yang sentiasa menyebut kalimah-kalimah-Nya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam At Tirmidzi daripada Ibnu Mas'ud RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

من قرأ حرفا من كتاب الله فله به حسنة ، والحسنة بعشر أمثالها ، لا أقول ( الم ) حرف ولكن ألف حرف ، ولام حرف وميم حرف
Bermaksud :
( Barang sesiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu hasanah. Dan satu hasanah itu diberikan sepuluh kali ganda sepertinya. Aku tidak berkata alim lam mim itu satu huruf tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu pula satu huruf )
Imam At Tirmidzi ( 2910 ), As Silsilatu As Sohihah ( 3327 )

Bayangkan terlalu besar rahmat Allah Taala untuk hamba-hamba-Nya di dunia ini. Dengan sedikit amalan sahaja diberikan ganjaran berlipat kali ganda. Tepuk dada tanya selera dan kemahuan. Dalam satu riwayat yang lain menceritakan bahawa Al Quran memberi syafaat pada hari kiamat kelak kepada sesiapa yang membacanya di dunia ini. Daripada Abu Umamah RA berkata, bersabda Nabi SAW :

اقرؤا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه
Bermaksud :
( Bacalah Al Quran, maka sesungguhnya Al Quran itu datang sebagai pemberi syafaat pada harikiamat kelak kepada orang-orang yang membacanya )
Imam Muslim ( 804 )

Selain itu, membaca Al Quran merupakan salah satu sifat dan amalan orang-orang yang soleh dan benar. Ianya adalah perniagaan dan pelaburan yang tidak akan rugi buat selama-lamanya. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala dalam surah Faathir ayat 29 bermaksud :

( Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah, mendirikan solat dan mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, samada tersembunyi atau terang-terangan, mereka itu ( dengan amalan yang demikian ) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi )

Pahala yang besar ini diberikan kepada orang-orang yang sentiasa basah lidahnya dengan membaca Al Quran tanpa mengira masa dan ketika. Sudah tentu ganjaran yang lebih besar akan diberikan sekiranya amalan ini diamalkan di bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan Allah Taala. Nabi SAW sendiri telah menunjukkan kepada kita betapa pentingnya ibadat ini diberikan penekanan yang berlipat kali ganda pada bulan ramadhan. Hal ini jelas diceritakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Ibni Abbas RA bahawa sesungguhnya Jibril AS datang menemui Nabi SAW setiap malam di bulan ramadhan bertujuan untuk tadarrus Al Quran.

Berkata Ibnu Abbas RA bermaksud : ( Adalah Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah. Dan sifat pemurah Baginda paling ketara ialah di bulan ramadhan ketika Jibril datang menemuinya. Dan Jibril menemui Baginda SAW pada setiap malam di bulan ramadhan lalu ia mentadarusnya akan Al Quran ... )
- iaitu Nabi SAW membaca dan Jibril mendengar.
Imam Bukhari ( 6), Imam Muslim ( 2308 )

Pada tahun di mana Baginda SAW wafat, Jibril datang menemuinya dan Baginda membaca Al Quran di hadapan Jibril sebanyak 2 kali khatam.
Imam Bukhari ( 4712 )

Golongan salaf sebelum ini sangat menghargai tempoh masa yang amat singkat ini dengan memperbanyakkan ibadah khususnya membaca Al Quran. Ikutilah kisah dan hal mereka apabila datangnya ramadhan :

01. ِِAl Aswad bin Yazid khatam Al Quran pada setiap 2 malam di bulan ramadhan. Beliau tidur di antara maghrib dan isyak. Beliau khatam Al Quran setiap 6 malam di bulan lain selain ramadhan. ( Siyarul A'lam An Nubala' 4 /51 )

02. Said ibnu Jubair khatam Al Quran pada waktu antara maghrib dan isyak di bulan ramadhan. Mereka pada masa itu melewatkan solat isyak. (
( Siyarul A'lam An Nubala' 4 /324 )

03. Al Walid bin Abdul Malik khatam Al Quran pada setiap 3 hari. Beliau khatam Al Quran pada bulan ramadhan sebanyak 17 kali khatam, beliau berkata ( Andainya Allah tidak menyebut tentang kisah kaum Luth, aku tidak terfikir ada manusia yang melakukan itu )
( Siyarul A'lam An Nubala' 4 /347 )

04. Qotadah khatam Al Quran pada setiap tujuh hari. Apabila datang ramadhan, beliau khatam pada setiap tiga hari. Dan pada 10 malam terakhir, beliau khatam pada setiap malam.
( Siyarul A'lam An Nubala' 4 /276 )

05. Imam Syafie khatam Al Quran sebanyak tiga puluh kali sebulan. Pada bulan ramadhan pula, beliau khatam sebanyak enam puluh kali.
( Siyarul A'lam An Nubala' 83,10 / 36 )

06. Muhammad bin Ismail Al Bukhari ( Imam Bukhari ) khatam Al Quran sekali sehari pada waktu siang di bulan ramadhan. Dan beliau qiyamullail selepas solat terawih dengan khatam pada setiap tiga malam.
( Siyarul A'lam An Nubala' 12 / 439 )

07. Imam Malik meninggalkan pengajaran hadith buat seketika apabila masuknya bulan ramadhan. Beliau mula menumpukan perhatiannya kepada bacaan Al Quran.

08. Imam Malik tidak mengeluarkan fatwa dan mengajarkan hadith apabila tibanya ramadhan. Dia berkata bahawa ini adalah bulan Al Quran.

09. Imam Ahmad menutup buku-bukunya di bulan ramadhan dan beliau berkata inilah bulan untuk bersama Al Quran.

Banyak lagi kisah yang menceritakan tentang keadaan dan hal golongan salaf apabila tibanya bulan ramadhan ini. Semoga Allah Taala memberikan kita kekuatan untuk beramal soleh sepertimana mereka beramal. Amin...

Berbeza halnya dengan masyarakat kita sekarang ini yang tidak menjadikan bacaan Al Quran sebagai satu budaya hidup. Al Quran dipandang sebagai satu azimat sahaja dan hanya dibaca pada majlis-majlis rasmi sebagai pembuka majlis, itu pun 5 hingga 6 ayat sahaja sebagai simbol keberkatan. Lebih menyedihkan ramai pula di antara kita yang hanya meletakkan mushaf di tempat-tempat yang tinggi dengan sangkaan menghormati Al Quran sedangkan ianya tidak pernah dibuka untuk dibaca dan dihayati isi kandungannya. Ada pula Al Quran hanya dijadikan sebagai perhiasan dinding rumah dengan ukiran khat yang cantik sedangkan kita sendiri tidak pernah tahu apa yang tertulis sebenarnya. Semoga Allah Taala memberi hidayat-Nya kepada kita semua.

2. Bulan Ramadhan Adalah Bulan Sabar

Diketahui umum bahawa puasa menuntut kesabaran yang tinggi. Dengan meninggalkan makan, minum dan berbagai-bagai lagi perkara yang sudah menjadi kelaziman diri setiap hari, terpaksa dilupakan sepanjang hari demi mematuhi suruhan Ilahi. Benarlah kata pepatah " Puasa Itu Separuh Daripada Sifat Sabar ". Dan sabar itu ganjarannya adalah syurga. Firman Allah Taala dalam surah Az Zumar ayat 10 :

إنما يوفى الصابرون أجرهم بغير حساب
Bermaksud :
( Sesungguhnya dikurniakan ganjaran orang-orang yang sabar itu dengan ganjaran yang tidak terkira )

3. Ditutup Pintu-Pintu Neraka, Dibuka Pintu-Pintu Syurga Dan Syaitan-Syaitan Dibelenggu

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata, bersabda Rasulullah SAW :

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة ، وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطن
Bermaksud :
( Apabila tibanya ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan )

Peluang keemasan ini sewajarnya tidak dilepaskan begitu sahaja. Syaitan dan kuncu-kuncunya yang selama ini sentiasa berusaha menyesatkan anak-anak cucu Adam AS dan memastikan mereka berada jauh daripada jalan Allah. Tibanya ramadhan, perancangan dan tipu daya mereka mereka tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana mereka dibelenggu dan pastinya manusia berupaya mengadap Allah Taala tanpa ada halangan daripada unsur-unsur luaran melainkan halangan dalam dirinya sahaja.

4. Bulan Ramadhan Terdapat Padanya Lailatul Qadar

Lailatul qadar adalah lebih baik daripada 1000 bulan. itulah maksud firman Allah Taala dalam surah Al Qadar. Umur umat Nabi Muhammad SAW sekitar 60 tahun sahaja. Daripada 60 itu mungkin 10 tahun sahaja digunakan untuk betul-betul beridabadah kepada Allah Taala. Selebihnya dihabiskan untuk urusan-urusan yang lain. Rahmat Allah Taala itu amat luas buat hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan jujur mencari keredhaan-Nya. Seribu bulan menyamai 83 tahun lebih. Satu jumlah masa yang amat jarang kita mendengar ada manusia yang menjangkauinya. Bayangkan dengan hanya beribadah kepada Allah Taala pada satu malam sahaja menyamai beribadah selamat 83 tahun. Terlalu besar rahmat Allah Taala untuk hamba-hambanya.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW :

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Bermaksud :
( Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar dalam keadaan dia beriman dan mengharapkan balasan baik daripada Allah,maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu )
Sahih Al Bukhari ( 37 ), Sahih Muslim ( 759 )

Persoalannya sekarang, bilakah malam lailatul qadar ini ? Sila lihat kenyataan di bawah ini;

1. Lailatul qadar hanya berlaku di bulan ramadhan.
2.
Lailatul qadar berlaku pada 10 malam terakhir
3.
Lailatul qadar berlaku pada malam ganjil daripada 10 malam terakhir.
4. Lailatul qadar diharapkan berlaku pada malam 27

Sila perhatikan dalil-dalil di bawah ini :

Bersabda Rasulullah SAW :

التمسوها في العشر الأواخر ، في الوتر
Bermaksud :
( Carilah malam lailatul qadar itu pada sepuluh yang terakhir, pada malam yang yang ganjil )
Sahih Al Bukhari ( 1912 ), Sahih Muslim ( 1167 )

Dalam sebuah riwayat daripada Ubadah bin Shamit RA menceritakan pada suatu hari Rasulullah SAW keluar untuk memberi tahu para sahabatnya bilakah malam lailatul qadar ini. Di pertengahan jalan, terdapat 2 orang lelaki sedang bertengkar. Selepas menyelasaikan permasalahan mereka berdua, ditakdirkan Allah Taala, Baginda SAW lupa bilakah malam lailatul qadar itu. Baginda SAW mengharapkan ketentuan Ilahi ini adalah satu kebaikan untuk umatnya. Baginda SAW berkata :

فالتمسوها في التاسعة والسابعة والخامسة
Bermaksud :
( Maka hendaklah kamu semua mencarinya - yakni lailatul qadar pada malam sembilan, ketujuh dan kelima )

Maksud hadih : ( malam kesembilan - ialah di mana 9 hari berbaki daripada ramadhan iaitu malam ke 21. Begitu juga hari ketujuh dan kelima ).

Sahih Al Bukhari ( 1919 )

Daripada Muawiyah bin Abi Sufyan RA berkata, sabda Rasulullah SAW :

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Bermaksud :
( Lailatul qadar itu ialah pada malam ke dua puluh tujuh )
Sunan Abu Daud ( 1386 ), Sahih Al Jami' ( 5474 )

Lailatul qadar pada malam ke-27 ramadhan adalah mazhab jumhur para sahabat Nabi SAW dan jumhur para ulamak. Diriwayatkan bahawa Ubai bin Kaab RA bersumpah bahawa sesungguhnya lailatul qadar ialah pada malam ke-27 ramadhan ( Jami' At Tirmidzi 158 / 3 - hadith sahih ).

Kesimpulan : Kebiasaannya ( bukan selalu ) lailatul qadar berlaku pada malam ke-27 ramadhan berpandukan kepada nas-nas yang sangat jelas akan makna dan penentuannya. Ini kerana terdapat satu riwayat sahih bahawa lailatul qadar pernah belaku pada malam ke-21 ramadhan sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Said RA ( Sahih Al Bukhari 1914, Sahih Muslim 1167 )
Jalan terbaiknya ialah kita hendaklah mempertingkatkan amalan kita apabila tibanya sepuluh malam terakhir ramadhan. Amalan dipertingkatkan lagi pada malam-malam ganjil. Dan kemuncak untuk tingkatkan amalan ialah pada malam ke -27 dengan harapan sekiranya berlaku lailatulqadar pada malam tersebut. Dengan ini, kita beramal dengan kesemua nas yang menceritakan tentang lailatul qadar. Sesungguhnya Allah Taala itu Maha Mengetahui setiap sesuatu...

Tanda-tanda datang malam lailatul qadar :

1) Matahari terbit keesokannya menyala kemerah-merahan, cahayanya agak lemah dan tidak berselerakan ( Imam Muslim - 762 )

2) Malamnya adalah malam yang nyaman/tenang, bercahaya, tidak panas dan tidak pula sejuk, dan tiada pula panahan di langit ( Sahih Ibnu Khuzaimah - 2192 ) Berkata Al Albani, hadih sahih dengan syawahidnya - lihat Ad Dhoifah 4404

Ada beberapa tanda yang masyhur didengar dan sering diceritakan terutama sekali mereka yang inginkan kebaikan kepada umat muslimin. Tapi sayangnya, tanda-tanda ini tidak terdapat dalam mana-mana riwayat yang sahih daripada Nabi SAW. Di antaranya ialah :

1) Pokok-pokok pada malam itu menundukkan dahan-dahannya sehinggakan boleh dicapai oleh manusia.

2) Air yang masin pada malam itu menjadi tawar.

3) Anjing-anjing tidak menyalak pada malam lailatul qadar.

4) Terdapatnya cahaya pada setiap tempat sehinggakan tempat yang gelap pun dilihat terang.

5) Kedengaran suara memberi salam pada setiap tempat dan tidak diketahui daripada mana datangnya suara tersebut.

6) Dll


Peringatan : akan bersambung pada waktu terdekat insyallah....

Selamat Datang Ramadhan 1430/2009 ( Siri 1 )

8/19/2009 10:23:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment

FADILAT-FADILAT PUASA ( wajib / sunat )


1) Orang Yang Berpuasa Diberi Ganjaran Tidak Terkira

Setiap amalan manusia diberi ganjaran sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda melainkan ibadat puasa. Sesungguhnya ganjaran puasa hanya Allah Taala mengetahuinya. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW :

كل عمل ابن آدم يضاعف الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف قال الله عز وجل : إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به ، يدع شهوته وطعامه من أجلي ....... الخ
Bermaksud :
( Setiap amalan anak Adam berganda kebaikannya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. Berkata Allah Azza Wa Jalla : melainkan puasa, maka sesungguhnya ianya adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran akannya. Dia meninggalkan syahwat dan makannya kerana-Ku ......... )
Sahih Al Bukhari ( 4/103 ) Sahih Muslim ( 1151 )

Selain itu, puasa menuntut kesabaran yang tinggi, menempuah berbagai-bagai ujian dan dugaan di siang hari. Semua itu dilakukan semata-mata kerana Allah Taala. Mereka yang berjaya melalui semua dugaan ini, pasti akan tergolong dalam golongan orang-orang yang sabar ( As Sobirun )

Firman Allah Taala dalam surah Az Zumar ayat 10 berbunyi :

إنما يوفى الصابرون أجرهم بغير حساب
Bermaksud :
( Sesungguhnya dilimpahkan ganjaran orang-orang yang sabar itu dengan ganjaran yang tidak terkira banyaknya )

2) Puasa Merupakan Benteng Daripada Api Neraka

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Jabir RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

الصوم جنة يستجن بها العبد من النار
Bermaksud :
( Puasa itu adalah benteng di mana seseorang hamba itu berlindung disebaliknya daripada api neraka )
hadith hasan - Sahih Al Jami' 3867

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Said Al Khudri RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

من صام يوما في سبيل الله ، باعد الله وجهه عن النار سبعين خريفا
Bermaksud :
( Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan wajahnya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun )
Sahih Al Bukhari ( 2685 ) Sahih Muslim ( 1153 )

3) Puasa Adalah Benteng Daripada Nafsu Syahwat

Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita jalan terbaik untuk menundukkan gelora nafsu syahwat khususnya para pemuda yang belum berkahwin dengan cara berpuasa. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Ibnu Mas'ud RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

يا معشر الشباب ، فمن استطاع منكم الباءة فليتزوج ، فإنه أغض للبصر ، وأحصن للفرج ، ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء
Bermaksud :
( Wahai sekelian pemuda, sesiapa di antara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Maka sesungguhnya ia ( berkahwin ) lebih menundukkan pandangan dan lebih terpelihara akan kemaluan. Dan barang sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya pada puasa itu ada wija )
Sahih Al Bukhari ( 4779 ) Sahih Muslim ( 1400 )

4) Puasa Merupakan Salah Satu Jalan Ke Syurga

Telah bertanya Abu Umamah kepada Rasulullah SAW :
Wahai Rasulullah ! Suruhlah aku dengan sesuatu yang mana Allah memberikan aku manfaat dengannya. Bersabda Nabi SAW :

عليك بالصيام ، فإنه لا مثل له
Bermaksud :
( Hendaklah kamu berpuasa. Sesungguhnya puasa itu tiada tolok bandingnya )
Sunan An Nasaei ( 2221 ) hadith sahih - Sahih Al Jami' ( 4044 )

Dalam satu riwayat yang lain, Baginda SAW memberitahu bahawa sesungguhnya di syurga terdapat satu pintu yang hanya dikhaskan untuk orang-orang yang berpuasa sahaja. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Sahl bin Sa'ad RA berkata, bersabda Nabi SAW :

إن في الجنة بابا يقال له الريان ، يدخل منه الصائمون يوم القيامة لا يدخل منه أحد غيرهم ، يقال : أين الصائمون ؟ فيقولون ، لا يدخل منه أحد غيرهم ، فإذا دخلوا أغلق ، فلم يدخل منه أحد
Bemaksud :
( Sesungguhnya di syurga itu terdapat satu pintu digelarkan dengan nama Ar Rayyan. Orang-orang berpuasa masuk melaluinya pada hari kiamat kelak, dan tiada seorang pun selain mereka masuk melaluinya. Dikatakan : Di manakah orang-orang yang berpuasa ? Lalu mereka pun bangun, tidak masuk melalui pintu itu seorang pun melainkan mereka. Apabila mereka semua sudah pun masuk, pintu itu ditutup dan tiada seorang pun yang boleh masuk melaluinya )

5) Puasa Boleh Memberi Syafaat Kepada Tuannya

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al Hakim daripada Abdillah bin Amru bin Al A'as, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة ، يقول الصيام : أي الرب منعته الطعام والشهوات بالنهار فشفعني فيه ، ويقول القرآن : منعته النوم بالليل فشفعني فيه ، قال : فيشفعان
Bermaksud :
( Puasa dan Al Quran memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Berkata puasa : Wahai Tuhan, aku menghalangnya daripada memakan makanan dan nafsu syahwat di siang hari, jadikan aku syafaat untuknya. Berkata Al Quran : Wahai Tuhan, aku menghalangnya daripada tidur di malam hari, jadikan aku syafaat untuknya. Berkata Nabi SAW : lalu kedua-duanya memberi syafaat kepada tuannya )
Musnad Imam Ahmad ( 2/174 ), Mustadrak Al Hakim ( 1/554 )
Hadith sahih - Sahih Al Jami' ( 3882 )

6 ) Puasa Merupakan Kaffarah ( penghapus ) Dosa

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Huzaifah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

فتنة الرجل في أهله وماله وولده وجاره تكفرها الصلاة والصوم والصدقة والأمر والنهي
Bermaksud :
( Fitnah seorang lelaki terhadap keluarga, harta, anak dan jirannya kaffarahnya adalah solat, puasa, sedekah, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran )
Sahih Al Bukhari ( 1796 ) Sahih Muslim ( 144 )

Dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah RA berkata, bersabda Nabi SAW :

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Bermaksud :
( Barang sesiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dalam keadaan dia beriman dan mengharapkan balasan baik daripada Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu )
Sahih Al Bukhari ( 38 ) Sahih Muslim ( 760 )

Daripada Abu Hurairah RA berkata, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

الصلوات الخمس ، والجمعة إلى الجمعة ، ورمضان إلى رمضان ، مكفرات ما بينهن إذا اجتنب الكبائر
Bermaksud :
( Solat fardhu 5 waktu, jumaat hingga jumaat selepasnya, ramadhan hingga ramadhan selepasnya merupakan penghapus dosa di antaranya, ( dengan syarat ) dia tidak melakukan dosa besar )
Sahih Muslim ( 233 )

7) Puasa Merupakan Satu Sebab Kebahagian / Kesejahteraan Di Dunia Dan Di Akhirat

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW :

للصائم فرحتان : فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه
Bermaksud :
( Bagi orang yang berpuasa itu 2 kegembiraan ; kegemberiaan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya )
Sahih Al Bukhari ( 1085 ) Sahih Muslim ( 1151 )

8) Bau Mulut Orang Yang Berpuasa Lebih Wangi Di Sisi Allah Berbanding Haruman Misk

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA, bersabda Nabi SAW :

والذي نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك
Bermaksud :
( Dan jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah jika dibandingkan dengan haruman misk )
Sahih Al Bukhari ( 1805 ) Sahih Muslim ( 1151 )