Kembara Menziarahi Sahabat
5/04/2010 11:15:00 AM, Posted by die_laksamana, No Comment
Perjalanan sejauh 280 km dari Kuala Lumpur, jam 12.30 petang, Ahad bersamaan 2 Mei 2010. Bersama 5 orang rakan ; Jaafar, Shamsuddin, Ramlan, Khairul dan Abdullah bertolak ke Kuantan, Pahang Darul Makmur untuk menziarahi seorang sahabat lama yang baru keluar daripada hospital kerana masalah jantung. Walaupun masing-masing mempunyai banyak komitmen lain terutamanya hujung minggu begini, kami gagahi jua demi sebuah persahabatan. Kami tidak mengalami apa-apa masalah sepanjang perjalanan ini. Alhamdulillah, pada jam 6.00 petang, kami selamat sampai di sana.
Banyak yang kami bualkan, maklumlah dah lama tidak bersua muka. Daripada riak wajahnya, terserlah kegembiraan kerana masih ada rakan-rakan yang sanggup berkongsi segala suka dan duka bersama. Doa kami semoga beliau sentiasa diberi rahmat oleh Allah Taala dan setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Kira-kira jam 10.30 malam, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur dengan seribu macam perasaan dan keyakinan bahawa sesungguhnya setiap manusia pasti diuji oleh Allah Taala di dunia ini. Jauh di sudut hati kami, terselit doa dan harapan ; Ya Allah, janganlah Engkau menguji kami dengan ujian yang berat yang kami tidak mampu menghadapinya...ِِAamin
Peringatan dan nasihat sesama muslim :
Kelebihan dan fadilat menziarahi orang sakit ;
Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ada enam perkara ; apabila engkau menemuinya, hendaklah engkau memberi salam. Apabila dia mengajak kamu ( ke majlis atau seumpamanya ), maka hendaklah engkau menghadirinya. Apabila dia meminta nasihat, maka hendaklah engkau menasihatinya. Apabila dia bersin, maka hendaklah engkau mendoakan rahmat baginya. Apabila dia sakit, maka hendaklah engkau menziarahinya. Dan apabila dia mati, maka hendaklah engkau mengikutinya ( ke kubur untuk disemadikan ) ).
Riwayat Imam Muslim ( no 4023 )
Daripada Abu Said Al Khudriy RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Hendaklah kamu menziarahi orang-orang yang sakit dan ikutilah jenazah ( ke kubur ). Kerana yang demikian mengingatkan kamu kepada akhirat )
Riwayat Ahmad, Al Bazzar, Abu Ya'la, Ibnu Hibban dan Al Bukhari ( dalam Al Adab Al Mufrad ) - hadith sahih - no hadith 3497 dalam Sahih At Targhib Wa At Tarhib.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud :
Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, berseru di langit dengan kata-kata ; baik jiwa engkau dan baik pula perjalananmu, dan tersedia tempatmu di syurga )
Riwayat Imam At Tirmidzi. Hadith hasan - rujuk Sahih Al Jami' As Saghir 6387
Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Sesungguhnya Allah berkata pada hari kiamat ; Wahai anak Adam ! Aku sakit tetapi kamu tidak menziarahi-Ku. Berkata anak Adam ; Bagaimana aku hendak menziarahi Engkau sedangkan Engkau adalah Tuhan alam semesta ? Berkata Allah ; Tahukan Engkau, hambaku si fulan sakit dan engkau tidak menziarahinya, andainya engkau menziarahinya, sudah pasti engkau akan menemui-Ku di sisinya....... )
Riwayat Imam Muslim ( no 4661 )
Daripada Ali RA berkata, sabda Rasulullah SAW bermaksud :
( Sesungguhnya seseorang muslim itu apabila dia menziarahi saudara muslimnya yang lain, maka dia berjalan dengan memetik buahan-buahan yang masak ranum di syurga sehinggalah dia duduk. Apabila dia sudah duduk, maka dia dilimpahi rahmat. Andainya ketika itu waktu pagi, 70,000 malaikat berselawat ke atasnya sehingga petang. Andainya ketika itu waktu petang, 70,000 malaikat berselawat ke atasnya sehingga pagi )
Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Al Hakim dll - hadith sahih - Silsilah As Sahihah - no 1367