Kerjakan Solat Sepertimana Kamu Melihat Aku Mengerjakannya

12/31/2009 04:36:00 PM, Posted by die_laksamana, No Comment

Solat merupakan ibadat yang sangat agung dan tinggi kedudukannya di sisi Allah Taala. Oleh yang demikian, kita disuruh sentiasa mengerjakannya sama ada ketika bermukim, bermusafir, berperang mahu pun aman, sihat mahu pun sakit dan seumpamanya ( Al Baqarah ayat 238,239 ) ( An Nisa' ayat 102,103). Melihat kepada kepentingannya itu, Nabi Ibrahim AS berdoa kepada Allah agar menjadikannya dan zuriatnya di antara orang-orang yang mengerjakan sembahyang ( Surah Ibrahim ayat 40 ).

Oleh kerana keagungan dan kepentingannya juga, solat adalah salah satu ibadat yang paling banyak banyak penerangan tentangnya daripada Rasulullah SAW.Sehingga pada suatu hari Baginda berdiri ( dalam solat ) di atas minbar agar para sahabatnya dapat mempelajari dan mencontohi solatnya ( Sahih Al Bukhari 917 ).

Berikut adalah perkara-perkara yang menunjukkan kepentingan ibadat solat ;

1. Solat merupakan salah satu Rukun Islam yang Enam / kedua selepas dua kalimah syahadah ( hadith Jibril AS, Sahih Muslim 1 / 157-160 )

2. Solat merupakan tiang agama ( At Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad. Hadith sahih, Irwa' Al Ghalil 2/38 )

3. Solat merupakan amalan pertama yang diwajibkan oleh Allah Taala dan Baginda SAW menerima kewajiban solat ini pada malam isra' dan mikraj tanpa perantaraan Jibril AS sepertimana ibadah-ibadah yang lain ( Sahih Al Bukhari 349 ).

4. Solat merupakan wasiat terakhir Rasulullah SAW kepada para sahabatnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir ( Imam Ahmad 6/290. Hadith sahih, Irwa' Al Ghalil 7/238 ).

5. Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah Taala di hari akhirat kelak. Sekiranya baik solat seseorang itu, maka baiklah seluruh amalannya. Sekiranya buruk, maka buruklah keseluruhan amalannya ( At Tobroni dalam Al Mu'jam Al Ausath. Hadith sahih, Silsilah As Shohihah 1358 )

6. Solat merupakan ibadat yang paling afdhal ( Imam Ahmad 5/280. Hadith sahih, Irwa' Al Ghalil 2/136 ).

7. Solat adalah amalan/ibadat terakhir yang akan ditinggalkan oleh manusia. Apabila tiada lagi amalan solat, maka lenyaplah agama di atas muka bumi ini ( Imam Ahmad, 2/251. Hadith sahih, Sahih Al Jami' 5478 ).

8. Solat merupakan amalan yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir dan boleh dijatuhkan hukuman bunuh apabila seseorang itu meninggalkannya dengan sengaja ( Sahih Al Bukhari 25, Sahih Muslim 2/70 dan Sahih Ibni Majah 884 ).

Mengerjakan solat sebagaimana solat Nabi SAW adalah kesempurnaan solat yang sebenar-benarnya dan meninggalkan sunnah Baginda SAW adalah kekurangan dan kecacatan. Terdapat satu riwayat yang sahih menceritakan bahawa seseorang hamba itu apabila telah selesai mengerjakan solatnya, maka tidaklah ditulis daripada solatnya itu melainkan 1/10, 1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 dan 1/2 sahaja. Dan ada pula yang hanya mendapat penat lelah sahaja ( Sahih Abi Daud 714 ). Semoga kita tidak termasukdalam golongan orang-orang yang lalai.

Bersama ini paparan video / lakonan kanak-kanak bagaimana Baginda SAW mengerjakan solat. Selamat menonton.










No Comment